Matlamat laman ini diwujudkan adalah untuk menyebarkan Hadis kepada mereka-mereka yang sentiasa online tidak mengira apa jua tujuan mereka. Misi kami sangat jelas, Hanya 1 hadis sahaja yang ingin dikongsikan untuk 1 hari. Diharap usaha ini dapat membantu lebih ramai orang islam mampu kembali "celik hadis" di zaman yang tiada batasan sempadan ini.

Friday, January 29, 2010

Hadith :
Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dihalalkan untuk kamu dua bangkai dan dua darah; Dua bangkai itu ialah ikan dan belalang dan dua darah itu ialah hati dan limpa.”

Ibnu Majah, Ahmad


Huraian

Terdapat dua jenis binatang yang dikecualikan oleh syariat Islam daripada kategori bangkai iaitu belalang, ikan dan sebagainya dari jenis binatang yang hidup di dalam air. Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja dan tidak beracun, memabukkan atau membahayakan kesihatan manusia. Binatang dua alam adalah tidak termasuk di dalamnya. Manakala belalang daun yang darahnya tidak mengalir juga halal dimakan. Begitu juga dengan darah. Sekalipun darah adalah haram tetapi ada pengecualiannya iaitu hati dan limpa. Demikian juga sisa-sisa darah yang menempel pada daging atau leher binatang setelah disembelih.
Kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan di dalam nas yang mengatakan ia haram, maka hukumnya adalah haram. Apa yang tidak dihukum sebagai haram, maka ia didiamkan syarak. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang jijik dan kotor. Jangan tepuk dada tanya selera semata-mata.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, January 16, 2010

Hadith :
Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."

Anas r.a


Huraian
Pengajaran hadith:
i) Apabila menghadapi ‘sakratul maut’ setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut.
ii) Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, January 15, 2010

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.

Riwayat Ahmad


Huraian:
Pengajaran Hadith:
i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.
Ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.
Iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.
iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, January 14, 2010

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”

Riwayat Bukhari dan Muslim


Huraian
Pengajaran hadith:

i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, January 13, 2010

Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “

(Bukhari)




Huraian
Malaysia selaku negara yang merdeka dan berdaulat dengan Islam dijadikan sebagai agama rasmi dan umatnya sebagai penduduk majoriti merupakan suatu nikmat terbesar yang harus disyukuri oleh umat Islam di negara ini. Bagi mengekalkan keamanan dan kemerdekaan tersebut, semangat perpaduan antara umat Islam adalah faktor terpenting malah ia merupakan senjata yang paling ampuh dalam memastikan kedudukan Islam tidak terpinggir, ditelan oleh arus kemajuan dan pemodenan yang dipenuhi dengan segala kenikmatan yang melalaikan. Bahkan seharusnya selaku umat yang terbaik kita hendaklah sentiasa tegas dan berpegang pada prinsip Islam yang mahukan umatnya maju dan merdeka dalam segala aspek termasuklah merdeka daripada sebarang perkara yang menyesatkan jiwa dan minda atau dalam ertikata lain aqidah tidak terjajah dan minda tidak terpengaruh dengan ideologi-ideologi yang sesat. Maka dengan dengan wujudnya keutuhan ummah dalam sebuah negara Islam yang merdeka, agama Islam juga hendaklah didaulatkan agar berkembang selari dengan keadaan dan zaman supaya nanti kemakmuran negara makin bertambah dan mendapat keredhaan daripada Allah, sesuai dengan ciri-ciri yang disebutkan di dalam al-Quran yang maksudnya: ”negeri yang baik (aman dan makmur) dan mendapat pengampunan Allah.” (Saba’: 15). Malah lebih daripada itu, segala apa yang berlaku di negara-negara Islam lain yang menghadapi tregedi-tragedi peperangan, penderitaan akibat kebuluran, pecah belah dan hura-hara harus diambil pengajaran oleh kita semua agar tidak ditimpa nasib yang sama.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tuesday, January 12, 2010

Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian
Orang yang turut membuat kebajikan bersama-sama dengan orang lain akan juga beroleh pahala. Para ulama’ membenarkan isteri menafkahkan harta suaminya jika telah diizinkan oleh suaminya sama ada secara terang atau menurut uruf (kebiasaan). Namun bagi pengeluaran yang sedikit yang biasa dilakukan oleh si isteri seperti memberi sedekah kepada peminta sedekah atau memberi makan kepada tetamu, hal tersebut tidaklah memerlukan kepada keizinan si suami namun janganlah pula ia berlaku secara keterlaluan, merosakkan harta atau sampai kepada tahap pembaziran.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, January 11, 2010

Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)




Huraian
Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dinamakan sedekah, tetapi jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih maka ia dinamakan hadiah. Allah menyuruh kita agar menginfakkan harta dan memberi sedekah dengan harta yang halal dan melarang kita daripada menginfakkan harta yang haram sebagaimana ia menyuruh kita agar memastikan agar makan, minum, pakaian dan segala harta benda yang kita gunakan di dunia ini adalah datang daripada sumber yang halal. Sebenarnya bersedekah adalah antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan dalam Islam. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang kaya sahaja, malah orang-orang yang kurang berada pun dianjurkan bersedekah menurut kadar kemampuan masing-masing.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sunday, January 10, 2010

Hadith :
Abu Ayyub r.a meriwayatkan katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: “Apakah ia haram? Baginda bersabda: “Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata: “Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak menyukainya.”

(HR Muslim)



Huraian:
Bau-bauan pada umumnya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap manusia dan haiwan. Banyak orang mahupun haiwan terus mengingati bau tertentu sepanjang hidup mereka. Orang yang mempunyai nafas yang berbau pula sering mendapat banyak masalah dalam pergaulan seharian mereka. Selama perbualan berlangsung biasanya orang yang berkomunikasi bersamanya akan berusaha menjarakkan diri atau cuba seboleh mungkin menahan nafas mereka. Bagi yang sering mendapat masalah bau mulut tentunya mereka akan berasa malu. Umumnya bau mulut disebabkan oleh faktor makanan yang dimakan seperti bawang putih, petai, jering, meminum alkohol (arak) atau menghisap rokok, disebabkan mulut kering atau kerana jangkitan penyakit/infeksi tertentu. Maka bagi mengurangi bau mulut adalah penting kita menjaga kebersihan mulut setiap hari. Tidak timbul masalah jika kita mahu memakan makanan yang disebutkan tadi (selain arak) asalkan kita segera mencuci mulut selepasnya. Jika tidak, pernafasan kita akan mengganggu orang lain terutamanya apabila kita mendirikan solat di dalam saf atau berkomunikasi dengan orang lain. Kekhusyukan dan perhatian mereka tentu akan terganggu. Justeru Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal kebersihan ini bukan sahaja pada tubuh badan, pakaian dan tempat solat bahkan juga pada bau mulut orang yang bersolat itu sendiri.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, January 9, 2010

Hadith :
Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “ Seorang lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “ Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
Sesungguhnya sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh pada orang yang selayaknya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, January 8, 2010

Hadith :
Aisyah r.a berkata : “ Sesungguhnya Rasulullah SAW sering mencium isteri-isterinya sedangkan baginda sedang berpuasa. Kemudian Aisyah tertawa.”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
Mencium isteri tidak membatalkan puasa. Namun bagi orang yang tidak kuat menahan nafsunya hal tersebut tidak digalakkan kerana ia akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, January 7, 2010

Hadith :
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi SAW bersabda: “ Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.” )

al-Bukhari 93:8, Muslim 1:6



Huraian:
Seseorang yang diserahkan kepadanya urusan rakyat lalu dia tidak memelihara rakyatnya dengan sempurna dan tidak mempedulikan urusan-urusan rakyatnya yang membawa mereka kepada kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat tidak akan mendapat bau syurga kerana pemimpin memegang satu jawatan besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan sebuah negara. Jika pemimpin cuai bala akan menimpa rakyat dan negara. Sebaliknya pemimpin yang baik akan menjadi teladan kepada rakyat dan mampu mengajak rakyat ke arah yang lebih baik hingga mencapai keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Laman ini dwujudkan atas kesedaran untuk memperbanyakkan lagi laman-laman berunsurkan islam yang bersumberkan dari sumber yang diyakini benar(Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM). Dengan wujudnya laman ini, diharapkan semakin ramai yang akan lebih "celik hadis" yang semestinya menjadi salah satu panduan dalam hidup kita.

Laman ini akan memfokuskan hanya 1 hadis sahaja untuk setiap hari. Ini bagi memberikan peluang kepada pembaca untuk memahami dan menghayati makna disebalik hadis yang dikongsikan.